Rejab F.I.

Anak itu melangkah satu-satu menuju ke rumahnya. Dia berhenti di muka tangga. Terdengar suara batuk-batuk daripada ibunya. Kesedihan segera menyelinap ke hatinya. Betapa ibunya dengan penuh kesengsaraan menyara dia bersekolah, di samping menjaga dua orang adiknya yang masih kecil. "Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak." Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah. Meskipun dia belum menyedari hakikat hidup ini, kesengsaraan hidupnya mengajar dirinya lebih cepat mengerti tentang erti kehidupan. Dia melihat ibunya begitu menyayangi dirinya dan begitu pula menyayangi persekolahannya. Kerana itu dia turut menyayangi sekolahnya seperti dia menyayangi ibunya jua. "Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh! Masih bersih kasut kau tu. Anak yang baik macam tulah," kata ibunya di muka pintu.

Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggungjawab terhadap dirinya dan adik-adiknya juga. Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.

Bajunya ke sekolah, meskipun bertampung akan tetapi sentiasa bersih. Ibunya tidak sanggup melihat dia memakai pakaian yang kotor ke sekolah. Begitu juga setiap peralatan di rumahnya tersusun rapi. Halaman rumahnya bersih. Rumput tidak berpeluang menghulurkan pucuknya. Ibunya sering meminta dia menolong membersihkan rumput-rumput itu. Bersama adiknya dia tolong membersihkan.

Kebiasaannya itulah membendung diri dan adik-adiknya menjaga kebersihan pakaian dan rumah tangganya. "Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah, mak. Dia baik kat Ramli." Harapan itu disampaikan kepada ibunya ketika dia sedang makan bersama ibu dan adik-adiknya. Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu. "Ramai kawan-kawan Ramli bercakap-cakap di sekolah tadi. Mereka nak hadiahkan pen, baju, kain, kasut. Ada pula yang nak hadiahkan jam tangan. Ramli nak hadiah apa, Mak", tanya anak itu lagi.. Mak Sopiah menuangkan air ke dalam pinggannya sambil membersihkan tangannya. Wajahnya menunduk keharuan. Air mata bergenangan di pelupuk matanya. Dia mengesat air mata itu dengan lengan bajunya.

"Eh! Mak dah sudah makan? Sikit sangat mak makan hari ini," tegur Ramli. "Kau makanlah. Mak dah kenyang," ujar Mak Sopiah. Ramli tahu emaknya tidak kenyang, akan tetapi terharu kerana tidak dapat memberikan apa-apa hadiah untuk gurunya. "Tak apa mak, kalau mak tak boleh bagi hadiah pada cikgu Ramli tu. Cikgu Fatimah dah pesan beberapa kali kepada kami jangan susah-susahkan ibu bapa memberi hadiah padanya," jelas Ramli dengan harapan menenangkan perasaan ibunya. Mak Sopiah tersenyum. Dia bangun sambil membawa pinggannya ke pelantar untuk dibersihkan. "Bila kau dah selesai makan, tolong bawa pinggan-pinggan tu ke pelantar," pinta ibunya.

"Baik, mak," katanya. Dia bangun untuk mengambil nasi dalam periuk. Ternyata nasi itu tinggal amat sedikit. Dia sedar ibunya berhenti makan tadi kerana meninggalkan nasi itu untuk dia dan adik-adiknya.

Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai. Ibunya sendiri sering menasihati mereka makan dengan cermat, jika dapat sebiji nasi pun tidak dibenarkan jatuh ke atas lantai. Adiknya yang bongsu, juga makan dengan perlahan-lahan. Dia menyuap sesuap demi sesuap dengan penuh berhati-hati. Perlakuan begitu amat disenangi oleh ibunya. "Rizal nak nasi lagi?" tanya Ramli. "Tak hendak, bang. Ijai dah kenyang," jawab adiknya membahasakan Ijai, sebagai nama timang-timangannya. "Salmah?" tanya Ramli pada adik kecilnya pula. Salmah angguk-angguk. Ramli mengaut nasi dalam periuk, memasukkannya ke dalam pinggan adiknya.

Dia juga telah kekenyangan, meskipun dia ingin makan lagi. Akan segera tertutup seleranya bila nasi tinggal sedikit, biarlah diperuntukkan untuk adiknya sendiri. "Kau dah kenyang, Ramli?" tanya Mak Sopiah apabila Ramli mengangkat pinggan kosong kepadanya. "Kenyang, mak," jawab Ramli agak bersungguh-sungguh. Mak Sopiah tahu jawapan anaknya tidak sungguh-sungguh. "Petang karang kau pergi ke rumah Pak Mustaffa, minta beras secupak. Katakan padanya, esok emak nak tolong tanam padinya tu," suruh Mak Sopiah. "Baik Mak," kata Ramli sambil mengangguk-angguk. Demikian kesetiaan seorang anak terhadap ibunya. Ramli tahu dalam penderitaan penyakit yang dihidapi oleh ibunya, dia tetap berusaha mendapatkan rezeki untuk mereka. Sebenarnya penderitaan itulah mengajar dirinya tentang erti kehidupan.

Ibunya terpaksa bertungkus-lumus bekerja sepeninggalan ayahnya tiga tahun yang lalu. Ayahnya bekerja terlalu berat semasa menjadi pemandu lori. Lalu jatuh sakit, muntah-muntah darah dan meninggal di hospital. Semenjak itu ibunyalah menjadi ibu dan ayah.

Tanah sawah seekar pusaka ibunya hanya cukup untuk berbelanja beberapa bulan dalam setahun. Bulan-bulan selebihnya terpaksalah ibunya sendiri berusaha mengambil upah menanam dan memotong padi. Kini ibunya sakit pula. Penanggungan penderitaan itu amat dirasainya sebagai seorang abang yang baru berusia sepuluh tahun, belajar dalam darjah lima, di Sekolah Kebangsaan di kampungnya. Dan kerana itu dia tidak akan meminta apa-apa daripada ibunya untuk memberikan hadiah kepada gurunya sempena Hari Guru pada tahun ini.

Ketika dia berjalan ke rumah Pak Mustaffa petang itu, tergambar di fikirannya rakan-rakannya menyerahkan bungkusan hadiah masing-masing kepada Cikgu Fatimah. Ketika itu dia hanya merenungi bungkusan-bungkusan yang cantik, dibungkus dengan kertas berbunga, tentu mahal pula harganya; dengan hati yang penuh terharu. "Oh! Apakah yang dapat aku hadiahkan pada Cikgu Fatimah? Dia sangat baik padaku. Dia banyak menolongku. Aku mesti hadiahkan sesuatu padanya." Demikian azam Ramli sambil melangkah satu-satu menuju ke rumah Pak Mustaffa.

Rumah Pak Mustaffa berdekatan benar dengan sebuah bukit. Dia melihat pokok-pokok menghijau di sekitar bukit tersebut. Di situ dia dan ibunya sering mencari kayu api, umbut-umbut kayu dan ulam. Betapa segar daun-daun kayu di situ tanpa diterokai oleh manusia. Dia pulang ke rumahnya petang itu dengan perasaan tenteram. Pak Mustaffa senang sekali memberikan beras yang dipohon oleh ibunya. Betapa penduduk di situ amat bersimpati terhadap hidup mereka. Pagi itu, seperti pagi yang lain-lain, setelah sarapan pagi, dia melangkah menuju ke sekolah dihantar oleh ibu dan adik-adiknya di muka pintu rumahnya. "Tuhanku, dialah satu-satunya anakku yang kuharap-harapkan. Berkatilah pelajarannya itu….," doa ibunya penuh harapan. Di sekolah, seperti biasa, lepas menyimpan begnya di dalam darjah, Ramli menunggu Cikgu Fatimah di tempat letak keretanya. Demikianlah saban hari dia akan menunggu di situ sehingga Cikgu Fatimah datang dan dia tolong membawa begnya ke dalam darjah. Beg itu biasanya berisi buku-buku rampaian dan ringkasan mengajar Cikgu Fatimah. Pagi itu terasa amat lama dia menunggu kesampaian Cikgu Fatimah. Dia berazam untuk mengucapkan Selamat Hari Guru yang pertama sekali kepada Cikgu Fatimah. Dan dia juga merupakan orang yang pertama sekali menyampaikan hadiah Hari Guru kepadanya. Akan tetapi hatinya berdebar-debar. Apakah Cikgu Fatimah akan menghargai hadiahnya nanti? "Selamat Hari Guru, cikgu. Sudilah terima hadiah dari saya yang tidak sepertinya," kata Ramli sambil menghulurkan satu bungkusan kepada Cikgu Fatimah sebaik sahaja dia keluar dari pintu kereta. "Eh! Ramli, apa yang disusah-susahkan ini? Terima kasihlah kerana ingatkan cikgu," kata Cikgu Fatimah sambil menerima hadiah itu dan menghulurkan begnya kepada Ramli. "Terima kasih kembali, cikgu!" balas Ramli sambil beredar dari situ. "Tengok Ramli tu, dia yang mula-mula beri hadiah pada Cikgu Fatimah. Apa yang diberinya tu entahlah," sindir rakan sedarjahnya kepada rakan di sebelahnya apabila dia masuk ke dalam darjah. Ramli hanya tunduk, terharu.

Ketika Cikgu Fatimah masuk ke darjahnya pagi itu, murid-murid berebut-rebut mendapatkannya, mengucapkan Selamat Hari Guru sambil memberi hadiah. Benar apa yang berlaku seperti yang digambarkan oleh Ramli ketika berjalan ke rumah Pak Mustaffa semalam. Bungkusan-bungkusan hadiah mereka itu cantik-cantik, berbalut dengan kertas berbunga, tentu harganya mahal. Ramli seorang sahaja yang duduk di mejanya di belakang darjah itu. Dia mengeluarkan sehelai kertas dan melukis sesuatu, sementara rakan-rakannya selesai menyampaikan ucapan dan hadiah masing-masing. Seorang rakan sedarjahnya yang paling nakal datang menghampirinya setelah menyerahkan sebungkus hadiah yang besar kepada Cikgu Fatimah. "Apa yang kau lukis tu, Ramli?" tanyanya. "Tak ada apa-apa. Saja-saja melukis," jawabnya. "Eh, kawan-kawan, tengok lukisan ini… Ramli lukis bukit dan pokok. Tengok ada Sang Kancil sedang makan pucuk-pucuk kayu tu…," jerit murid tersebut setelah menyentak kertas di atas meja Ramli.

Rakan-rakannya berkerumun melihat lukisannya. "Heee! Apa yang dilihat tu?" tanya Cikgu Fatimah. "Sazali! Beri balik kertas tu pada Ramli," suruh Cikgu Fatimah. "Nah! Ambillah sayang, intan payung, manja Cikgu Fatimah," ejek Sazali sambil melayangkan kertas itu kepada Ramli. "Sazali! Tak baik kata macam tu pada Ramli. Tak ada anak emas, anak perak, anak tembaga dalam kelas ini. Semua murid-murid cikgu sama saja. Kalau baik cikgu sayang, kalau jahat cikgu marah, supaya jadi baik. Faham?" herdik Cikgu Fatimah. "Faham cikgu," jawab Sazali sambil menjuihkan mulutnya ke arah Ramli. Ramli diam membisu. Selesai menerima hadiah-hadiah, Cikgu Fatimah mengucapkan terima kasih kepada murid-muridnya. Apabila loceng berbunyi pagi itu, semua murid dan guru turun ke padang untuk turut serta dalam sukaneka. Selepas itu persembahan pentas pula diadakan sebagai tanda kemesraan antara guru-guru dengan murid-murid sempena Hari Guru pada hari tersebut. Cikgu Fatimah amat riang kerana antara guru-guru sekolah itu, dialah yang paling banyak menerima hadiah daripada muridnya. Mereka sama-sama membuka hadiah masing-masing di dalam bilik guru. Satu demi satu hadiah mereka buka. Bermacam-macam hadiah yang mereka dapat. Kebanyakannya dibeli di supermarket atau di kedai-kedai. Sekali-sekali Cikgu Harun yang pandai berjenaka menjerit apabila dia mendapat hadiah sehelai tuala kecil. Dia segera mengesat peluh dengan tuala tersebut. Ada guru yang mendapat hadiah baju, stoking, kasut, lampu meja, jam tangan dan tidak kurang pula yang paling lucu ada antara mereka yang mendapat hadiah tisu dan botol susu yang berbungkusan besar tanpa bertulis nama pada hadiah tersebut! "Oh! Ya, saya terlupa hadiah dari murid saya yang mula-mula saya terima hari ini," kata Cikgu Fatimah, yang tiba-tiba teringatkan hadiah itu terletak dalam laci meja tulisnya di dalam bilik guru itu. "Hm! Ambillah, boleh kami tengok sama-sama. Jangan-jangan hadiah coli, tak?" kata Cikgu Harun, berjenaka. "Eh! Cikgu Harun ni, merepeklah!" dengus Cikgu Faridah. Cikgu Fatimah segera mengambil hadiah itu lalu dibukanya di atas meja. Beberapa orang guru termasuk Cikgu Abdullah, Guru Besar sekolah itu turut sama melihat hadiah tersebut. Cikgu Fatimah sengaja membuka bungkusan hadiah itu perlahan-lahan. Dia ingin menimbulkan suspen kepada rakan-rakannya. "Cepatlah sikit buka bungkusan tu. Jangan-jangan seketul intan tak?" seru Cikgu Darus. "Eh! Lari jauh-jauh… dalam bungkusan tu ada ular tedung senduk tau!" jerit Cikgu Harun sambil berundur ke belakang, menjauhkan diri dari situ. "Cikgu Harun ni merepek yang bukan-bukanlah. Takkan murid Cikgu Fatimah tu nak hadiah macam tu." Cikgu Noriah menyampuk. Ketika itulah… ketika mereka sedang bergurau itu, Cikgu Fatimah telah selesai membuka bungkusannya. "Eh! Ulam pucuk janggus!!! Ha! Ha! Ha!" jerit Cikgu Darus sambil ketawa berdekah-dekah. Bersama ulam tersebut terdapat sepucuk surat. Cikgu Fatimah segera membuka surat tersebut dan membacanya. Tidak ada barang-barang yang berharga yang dapat saya hadiahkan kepada cikgu sempena Hari Guru pada tahun ini, selain dari daun-daun yang dapat saya cari di kampung saya. Daun ulam itulah yang selalu saya berikan pada Cikgu selama ini. Saya tahu Cikgu suka makan, makanan tradisi kita. Saya orang miskin cikgu. Ibu saya sedang sakit. Ayah saya telah lama meninggal. Semalam bila saya minta hadiah pada ibu saya, dia menangis. Kami tidak dapat beri barang-barang yang berharga untuk cikgu, sedangkan Cikgu sangat baik pada saya. Budi dan jasa cikgu tak dapat saya balas. Emak saya hanya dapat mengirimkan salam pada cikgu. Terimalah hadiah yang ikhlas dan jujur dari saya, yang tidak berharga itu. Itulah saja yang dapat saya hadiahkan pada cikgu. Maafkan saya, cikgu. - Ramli. Tiba-tiba berjurai air mata mengalir keluar mengaliri pipi Cikgu Fatimah sebaik sahaja habis membaca surat tersebut. Cikgu Faridah dan Cikgu Noriah turut terharu ketika sama-sama membacanya. Cikgu Fatimah menundukkan mukanya ke meja dan menangis teresak-esak. "Eh! Tadi Cikgu Darus ketawa. Tiba-tiba Cikgu Fatimah menangis pula. Ada apa ni, mari saya baca," minta Cikgu Harun. Dia kehairanan melihat keadaan tersebut. Cikgu Harun selesai membaca. Dia merenungi hadiah tersebut. "Benar! Inilah hadiah yang paling murni. Hadiah yang ikhlas dan jujur. Lebih baik dari hadiah-hadiah yang mahal-mahal tu jika untuk bermuka-muka," katanya, turut terharu apabila melihat hadiah tersebut. Cikgu Abdullah juga turut terharu apabila membaca surat itu. "Cikgu Fatimah…," kata guru besar, "terimalah hadiah yang ikhlas dan jujur dari murid cikgu tu. Saya rasa kita patut membantunya." "Ramli tu murid yang baik, cikgu. Saya pernah melawat rumahnya. Dia memang miskin, tetapi ibunya sangat bertanggungjawab. Pakaian sekolahnya sentiasa bersih. Ramli tu, faham pula dengan keadaan hidupnya," terang Cikgu Fatimah sambil tersedu-sedu.

"Oh! Kalau begitu dia patut mendapat bantuan dari sekolah kita," tegas Cikgu Abdullah. "Saya ingin jadikan dia anak angkat saya, cikgu," Cikgu Fatimah meluahkan hasratnya pula. "Hm! Memang baik begitu. Sempena Hari Guru kita pada tahun ini sepatutnya ada sesuatu kebaikan yang dapat kita lakukan. Saya berharap cikgu-cikgu yang lain juga dapat lakukan sesuatu kepada murid-murid lain yang susah seperti murid Cikgu Fatimah tu," syor Cikgu Abdullah kepada guru-guru sekolahnya. "Insya-Allah, cikgu. Kami juga akan menuruti jejak Cikgu Fatimah," ujar Cikgu Harun. Guru-guru yang lain mengangguk-angguk. "Cikgu Fatimah, maafkan saya kerana menyinggung perasaan cikgu tadi," kata Cikgu Darus. Cikgu Fatimah tersenyum. Mereka bersalam-salaman.

Hari itu, Cikgu Fatimah pulang ke rumahnya dengan suatu tekad, mulai esok Ramli akan menjadi anak angkatnya. Dia akan membantu persekolahan Ramli. Dan ulam pucuk janggus itu merupakan hadiah yang paling murni daripada hadiah-hadiah lain yang diterimanya hari itu.

Pengarang : Rejab F.I. Sumber : Di Sisi Rinda Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Komponen : Tingkatan 1

HADIAH HARI GURU
Baca dan hayati isi kandungan cerpen berikut dan anda boleh memahami maksud kosa kata dan mengetahui biodata penulis dengan meletakkan kursor pada perkataan bergaris.